KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangka ekonomi Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2024 berikutan pasaran buruh yang terus kukuh, menjana permintaan domestik.

Data terkini menunjukkan tanda-tanda tentatif kelembapan elektrik dan elektronik semasa yang mencapai paras terendah, berpotensi meningkatkan eksport pada tahun depan, katanya dalam kenyataan susulan laporan Kemas Kini Ekonomi 2023 yang dikeluarkan.

"Penyelesaian isu kekurangan buruh boleh memberi dorongan tambahan kepada pertumbuhan sektor yang perlahan seperti pertanian dan pembinaan.

"Jangkaan kini semakin meningkat terhadap pemulihan bertahap untuk ekonomi Amerika Syarikat, membawa kepada kemungkinan kelembapan global yang tidak teruk," menurut agensi penarafan itu.

Bagi separuh kedua 2023, ia menjangka momentum ekonomi akan terus dicabar oleh permintaan global yang rendah dan cabaran lain, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang perlahan pada 4.0 peratus hingga 5.0 peratus daripada 8.7 peratus pada tahun lepas.

Secara keseluruhannya, katanya pertumbuhan KDNK merosot kepada 4.2 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2023 (separuh kedua 2022: 10.4 peratus) berikutan perdagangan global yang berkurangan dan kelembapan semikonduktor yang memberi impak kepada eksport.

Eksport merosot 6.4 peratus tahun ke tahun dari segi jumlah pada separuh pertama 2023, dengan kesan asas yang mengurangkan jumlahnya.

"Permintaan domestik, pemacu utama pertumbuhan ekonomi, turut rendah pada 4.5 peratus pada separuh pertama 2023 berbanding 9.9 peratus pada separuh kedua 2022, berikutan pola perbelanjaan yang mencatatkan normal," katanya.

Momentum lemah yang dilihat pada suku kedua 2023 dijangka berterusan untuk baki tahun ini apabila cabaran luaran semakin ketara.

Kenaikan harga makanan dan komoditi global berikutan gangguan bekalan oleh geopolitik dan/atau tarif akan menjadi risiko penurunan utama yang boleh menaikkan harga domestik dan menjejaskan permintaan penggunaan tempatan.

"Permintaan global yang kurang menggalakkan, berikutan terutamanya oleh krisis hartanah di China, boleh mempengaruhi pertumbuhan eksport Malaysia," menurut RAM Ratings.

-- BERNAMA